Posted by Drs.H.Mutawalli,M.Pd.I on December 8, 2010
DAN
setengah daripada tanda-tanda kebesaran-Nya bahawa Dia ciptakan untuk
kamu daripada dirimu sendiri akan isteri-isteri, agar tenteramlah kamu
kepadanya. Dan Dia jadikan di antara kamu cinta dan kasih
sayang.Sesungguhnya pada yang demikian adalah tanda-tanda bagi kaum yang
berfikir. (ar-Rum: 21)
SITI Khadijah merupakan seorang wanita
yang berasal daripada suku kaum Asadiyah, iaitu satu keturunan Quraisy
yang amat dihormati dan disegani. Beliau dilahirkan pada tahun 68
sebelum hijrah iaitu 15 tahun sebelum tahun gajah, tahun kelahiran Nabi
Muhammad s.a.w. Beliau diasuh dan dibesarkan oleh ibu bapanya dengan
penuh kasih sayang serta diberikan tarbiah yang sempurna.
Pendidikan dan tunjuk ajar oleh ibu
bapanya diterima dengan patuh dan taat, sehingga beliau tampil sebagai
seorang wanita budiman dan berakhlak luhur serta tidak pernah bangga
atau sombong dengan taraf kebangsawanannya. Kaumnya memanggil beliau
dengan gelaran Al-Tahirah yang bermaksud perempuan suci. Sebelum
berkahwin dengan Rasulullah, beliau pernah berkahwin dua kali, tetapi
kedua-dua suaminya telah meninggal dunia. Ketika berkahwin dengan
baginda, umur beliau ialah 40 tahun, manakala umur baginda 25 tahun.
Walaupun berbeda usia 15 tahun, tetapi
rumah tangga mereka penuh dengan kedamaian dan ketenteraman, aman
bahagia dan tidak pernah berselisih faham terhadap sesuatu masalah.
Beliau juga merupakan Ummul Mukmin
pertama yang mempunyai keistimewaan-keistimewaan yang tersendiri,
berbeda dengan isteri-isteri baginda yang lain. Beliau bukan sahaja
wanita yang jelitawan tetapi mempunyai harta kekayaan dan tergolong di
antara orang-orang yang ternama di Mekah.
Beliau sangat pandai mentadbir
perniagaannya sehingga berjaya sampai ke Yaman dan Syam. Beliau pernah
menyerahkan urusan perniagaannya kepada baginda kerana percaya dengan
kejujuran baginda. Sehinggalah sampai suatu ketika beliau jatuh cinta
dengan kebaikan dan kelembutan Rasulullah, lalu menyatakan hasrat untuk
menikahi baginda.
Beliau hidup bersama Rasulullah selama 24
tahun. Sepanjang menjadi isteri baginda, beliau menjadi suri rumah
tangga dan kekal menjadi satu-satunya isteri baginda sehinggalah beliau
meninggal dunia. Beliau telah melahirkan enam orang anak sedangkan
isteri-isteri baginda yang kemudian tidak seorangpun yang melahirkan
anak sepertinya.
Beliau juga menanggung berbagai-bagai
penderitaan bersama-sama Rasulullah dalam usaha berdakwah dan menyeru
kepada Islam. Ketika dua orang anak lelakinya iaitu Kasim dan Abdullah
meninggal dunia, beliau bersama dengan baginda berdukacita menangisi
pemergian anak-anaknya itu.
Sudah menjadi kebiasaan Rasulullah untuk
pergi ke Gua Hira kerana ingin bertafakur dan bermunajat kepada Allah
seorang diri. Setiap kali baginda ke sana, baginda akan membawa sedikit
bekalan yang disediakan oleh isterinya, Siti Khadijah. Apabila makanan
sudah habis, baginda turun semula ke Mekah dan tawaf di Kaabah sebanyak
tujuh pusingan, kemudian barulah kembali menemui isteri tercinta.
Demikianlah yang dilakukan oleh Rasulullah, berulang alik dalam tempoh
masa lebih kurang lima tahun di Gua Hira.
Sungguhpun demikian, Siti Khadijah tidak
pernah berasa kecil hati terhadap Rasulullah. Malah, beliau berusaha
agar baginda lebih memperoleh ketenangan dalam bermunajat kepada Allah.
Oleh yang demikian, apabila Rasulullah pulang ke rumah, beliau tidak
pernah mengeluh apatah lagi bermasam muka. Beliau melayani suaminya
dengan baik, penuh hormat dan kasih sayang.
Begitulah tanggungjawab sebagai seorang
isteri yang taat dan setia kepada suami sehinggalah beliau meninggal
dunia dalam usia 64 tahun dan enam bulan. Semenjak pemergian Siti
Khadijah, Rasulullah sangat sedih dan murung kerana begitu terasa
kehilangan seorang kawan, teman, isteri, pembantu dan pembela ketika
baginda menjalankan seruan Allah.
Nama Lengkapnya Siti Khadijah iaitu Siti
Khadijah binti Khuwalid bin Asad bin Abdul Uzza bin Qushai, yang
tergolong daripada golongan bangsawan dan ternama di Mekah.
Petikan daripada buku Untaian 366 Kisah
Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel:
edusb@streamyx. com.