Minggu, 31 Maret 2013

Psikologi Perkembangan: KONSEP PERKEMBANGAN KANAK-KANAK

by mutawalli

Perkembangan secara umumnya dapat didefinisikan sebagai aspek perubahan yang dihadapi oleh individu yang berubah menurut peredaran masa. Namun, pelbagai pendapat telah dikemukakan mengenai konsep dan definisi perkembangan itu sendiri, salah satunya ialah daripada Haliza Hamzah dan Joy N. Samuel dalam buku Perkembangan Kanak-kanak, yang mengatakan perkembangan adalah perubahan kualitatif yang tidak dapat diukur secara kuantitatif tetapi dapat dilihat dari sifat baru yang berlainan dari sifat yang lebih awal. Berbanding Santoock ( 2008 ), baginya perkembangan dapat ditafsirkan sebagai perubahan dalam corak biologi, kognitif dan sosioekonomi individu yang bermula dari peringkat percambahan sehingga ke akhir hayat. Kesimpulnya, perkembangan dapat diklasifikasikan sebagai suatu perubahan yang bersifat kualitatif, tersusun, bertahap dan berterusan pada diri manusia bermula semenjak percambahan sel sehingga ke akhir hayat organisma hasil dari kombinasi pembelajaran, pengalaman dan kematangan melibatkan aspek-aspek fizikal, emosi, mental dan sosial.
Terdapat banyak aspek yang memungkinkan perkembangan kanak-kanak itu berlaku, salah satunya ialah sifat perkembangan itu sendiri yang bersifat kualitatif dan perubahan-perubahan yang berlaku adalah dari segi fizikal, kognitif, sosial, emosi dan moral. Perubahan-perubahan itu adalah stabil dan berlaku secara teratur dan progresif dalam arah tertentu. Sebagai contohnya, seseorang kanak-kanak akan mula mengenal objek, memberi nama kepada objek, mengenal huruf, mengaitkan huruf dengan objek, mengenal perkataan dan mengaitkannya dengan objek. Justeru, perubahan-perubahan yang berlaku adalah berterusan sepanjang hayat dan melalui peringkat-peringkat kematangan tertentu. Kematangan pula merujuk kepada perubahan semulajadi dan ditentukan oleh genetik. Ia biasanya dipengaruhi oleh baka dan persekitaran. Oleh itu, perkembangan adalah hasil daripada kematangan dan pembelajaran.
Secara terperincinya, aspek perkembangan kanak-kanak terbahagi kepada empat bahagian, iaitu fizikal, kognitif, emosi dan sosial. Merujuk kepada Haliza Hamzah dan Joy N. Samuel dalam buku Perkembangan Kanak-kanak, perkembangan fizikal adalah proses perkembangan kemahiran psikomotor dalam diri individu. Kemahiran tersebut biasanya memerlukan penggunaan anggota badan, misalnya seorang kanak-kanak yang bermula dengan kemahiran mengenal huruf, menulis dan kemudian membaca. Berbeza dengan pendapat di dalam carian laman web http://www.scribd.com, perkembangan fizikal dapat ditakrifkan sebagai perubahan saiz fizikal, kadar pertumbuhan bahagian-bahagian badan, fungsi anggota-anggota badan dan perawakan manusia. Selain itu, hasil carian di dalam lawan web http://www.mycreche.com.my/services.htm pula mentakrifkan perkembangan fizikal sebagai perubahan dari segi bentuk, saiz, kebolehan mengawal pergerakan motor kasar dan motor halus serta koordinasi anggota badan. Secara huraiannya, pembentukan manusia adalah hasil daripada satu sel persenyawaan benih ibu dan bapa yang akan membesar menjadi janin dalam kandungan ibu selama sembilan bulan sebelum dilahirkan. Kemudiannya, bayi itu akan berubah secara beransur-ansur manjadi seorang kanak-kanak yang membesar. Maka, proses perubahan yang dilalui bayi itulah dipanggil proses pertumbuhan dan perkembangan.
Berbeza dengan aspek perkembangan fizikal sambil merujuk sumber buku yang sama, perkembangan kognitif mengupas isu kemahiran yang merangkumi kemahiran membaca, menulis, mengira, berfikir secara kreatif dan kritis. Bagi Siti Hawa Munji dan Ma’rof Redzuan dalam buku mereka, Pengantar Psikologi pula, perkembangan kognitif dikatakan sebagai perkembangan fikiran dan intelek manusia. Selain itu, perkembangan kognitif kanak-kanak dalam dalam carian laman web http://www.anakku.my/artikel menyifatkan perkembangan kognitif sebagai proses peningkatan keupayaan pemikiran, pengetahuan dan intelektual kanak-kanak. Dalam kata lainnya, proses ini melihat kepada kemampuan kanak-kanak dalam menjana akal budi dalam pelbagai aktiviti penyelesaian masalah disamping memahami dan menganalisa masalah tersebut. Secara amnya, bidang ini mementingkan siasatan ke atas bagaimana seseorang kanak-kanak dapat berkembang dari satu usia ke usia mental yang lebih tinggi. Dalam usia tersebut, kanak-kanak biasanya mula membentuk pengetahuan serta pemahaman baru terhadap pengalaman yang dilaluinya. Justeru, perkembangan kognitif ini merupakan salah satu daripada proses tumbesaran yang dilalui oleh setiap kanak-kanak.
Aspek perkembangan emosi menurut Haliza Hamzah dan Joy N. Samuel dalam buku Perkembangan Kanak-kanak membincangkan aspek kemahiran mengurus dan mengawal emosi. Menurut hasil carian laman web http://www.mycreche.com.my/services.htm pula, perkembangan emosi kanak-kanak disifatkan sebagai keupayaan kanak-kanak bergaul , berinteraksi dan meluahkan perasaan mereka. Bagi hasil carian dalam laman web http://permatahati.wordpress.com, perkembangan emosi lebih dikaitkan dengan perasaan iaitu suatu aspek penting dalam dalam kehidupan seseorang termasuk negatif atau positif kerana ia membantu kanak-kanak membina idea baru, matlamat dan perancangan. Tambah pensyarah Psikologi Perkembangan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak Institut Pendidikan Universiti Antarabangsa Malaysia, Dr. Mastura Badriz, berkata ilustrasi emosi yang terlihat dalam kehidupan harian kanak-kanak berfungsi sebagai satu cara bagi komunikasi untuk memberitahu dan menyatakan keperluan mereka. Justeru, perkembangan emosi merupakan salah satu aspek dalam perkembangan kanak-kanak.
Aspek perkembangan sosial pula menurut sumber buku yang sama, membincangkan kemahiran menjalin perhubungan sosial dan menunjukkan perlakuan baik dan sesuai mengikut norma-norma masyarakat. Hasil dapatan maklumat melalui laman web http://www.geocities.com pula berpendapat perkembangan sosial sebagai satu proses apabila kanak-kanak belajar berhubung dengan orang lain mengikut cara yang diterima oleh masyarakat dan budayanya. Proses ini meliputi cara berfikir tentang kendiri, orang lain dan perhubungan sosial. Pendapat ini turut disokong oleh Ainee binti Hajah Ahmad , pelajar Pra-syarat bagi mata pelajaran Psikologi Perkembangan dalam laman webnya, http://aineehjahmad.blogspot.com. Hal ini disebabkan perkembangan ini melibatkan proses sosialisasi yang membolehkan kanak-kanak mempelajari tingkah laku sosial atau melakukan penyesuaian sosial mereka.